Monday, May 28, 2012

Kampung Beng???

Kampung Beng yang terletak di Mukim Durian Pipit adalah sebuah perkampungan tradisional terletak di pinggir Tasik Chenderoh. Perkampungan ini berada di pinggir Hutan Simpan Piah dan pergunungan Piah serta di pertengahan Banjaran Titiwangsa yang terdapat Hutan Simpan Bintang Hijau. Populasi penduduk di Kampung Beng adalah seramai 896 orang dengan 195 buah rumah di atas keluasan 3.9188 hektar. Terdapat enam perkampungan kecil yang membentuk Kampung Beng iaitu Kampung Durian Lubuk, Beng Dalam, Kampung Dusun, Kampung Sekolah, Kampung Durau dan Batu Ring. Jarak kampung ini dari Ipoh adalah kira-kira 60 kilometer, manakala dari Kuala Kangsar 35 kilometer serta mengambil masa selama 35 minit untuk sampai ke sini. Keindahan dan keunikan Homestay (rumah inap) Kampung Beng menjadikan penginapan desa ini popular di kalangan penerbit filem untuk dijadikan lokasi penggambaran filem dan iklan. Antara filem popular antarabangsa yang pernah menjalani penggambaran di sini adalah seperti "Anna And The King". Di sebalik keindahan alam semulajadi tersimpan 1001 cerita penuh misteri tentang Kampung BengKampung Beng terletak bersebelahan dengan Kampung Batu Ring yang dipisahkan air tasik kira-kira satu kilometer dikatakan menerima beberapa ketul batu dari Gunung Ring di Jeli, Kelantan dibawa Sang Kelembai sebelum dihuni manusia satu ketika dulu. Ia dikatakan berlaku disebabkan Kampung Beng dan Kampung Batu Ring memiliki bentuk muka bumi yang indah sehingga menarik Sang Kelembai menjadikan perkampungannya yang strategik. Nama Kampung Beng adalah bersempena nama orang pertama yang membuka kampung ini iaitu Tok Beng yang berasal dari Thailand. Rata-rata penghuni Kampung Beng terdiri dari kalangan warga emas dan kebanyakannya adalah saudara mara. Uniknya, kehidupan damai penduduk di kedua-dua perkampungan ini dan kuat berpegang amalan tradisional termasuk berulang-alik dengan menggunakan sampan atau rakit sebelum ini amat sinonim. Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini penduduknya sudah menggunakan bot bagi mempercepatkan perjalanan bukan saja untuk berulang-alik antara kedua kampung berkenaan tetapi juga bagi pelbagai aktiviti harian mereka seperti ke kebun untuk menoreh getah, menjadi nelayan tasik, berkebun sayur, ke ladang ternakan lembu dan rusa serta ada yang menternak ikan dalam sangkar. Bagi yang gemar memancing, sudah tentu pelbagai spesies ikan terutama bernilai tinggi seperti tengalan, kerai, kelah, sebarau, baung, lampan jawa dan patin selain spesies ikan kecil lain yang sering dijadikan pekasam oleh penduduk kampung mudah ditangkap. Tasik Beng yang bersambung dengan Sungai Perak sering dikunjungi pelancong termasuk dari luar negara yang menginap secara ‘homestay’ disediakan penduduk sekitar Tasik Beng dan Tasik Raban berhampiran. Menghirup udara segar di pengkalan Tasik Beng di depan Sekolah Kebangsaan Beng (SK Beng) sambil menyaksikan panorama keindahan bukit-bukau dan Tasik Beng semula jadi sudah cukup menenangkan fikiran. Jika mahu meronda di tasik yang tenang air khususnya antara Kampung Beng dan Kampung Batu Ring, terdapat banyak bot sewa disediakan penduduk. Ia pasti menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan. Sungguh pun Kampung Beng popular dengan mitos yang menyeramkan namun keindahan alam semulajadinya pasti akan membuatkan kita jatuh cinta dengan kampung ini. Tidak seperti kampung yang lain, Kampung Beng adalah lain dari yang lain.

SK Beng, berusia lebih dari 100 tahun


Aktiviti memukat ikan


Panorama indah Kampung Beng

untuk mengelakkan dari di cerobohi hidupan liar seperti gajah dan harimau, Jabatan PERHILITAN telah memasang pagar elektrik di sekeliling kampung

No comments:

Post a Comment